Wednesday 13 January 2016

Cabaran Menabung 52 Minggu

Semalam semasa sibuk melayari muka buku, tiba-tiba terpandangkan satu perkongsian tentang cabaran menabung 52 hari.

Melalui sistem ini kita akan dapan menyimpan lebih RM1,000 dalam masa setahun. Lebih tepat lagi sebanyak RM1,378. Memang tertarik sungguh saya dengan perkongsian ini. Kena pula dengan azam tahun baru yang mahu banyakkan menyimpan secara sistematik. Apa lagi, cepat-cepat saya klik pada link yang diberi. 

Cabaran 52 minggu ini adalah berdasarkan tabungan pada kala menaik pada setiap minggu:
  • Minggu 1 : simpan RM1
  • Minggu 2 : simpan RM2
  • Minggu 3 : simpan RM3
  • Minggu 4 : simpan RM4
Pada hujung minggu ke 4, jumlah terkumpul adalah RM10. Teruskan hingga ke minggu terakhir pada tahun itu (minggu ke 52), dan anda akan mendapat jumlah terkumpul sebanyak RM1,378.

Setiap kali anda masukkan duit dalam tabung anda, tandakan (cross out) supaya anda tahu anda telah memasukkannya. Contoh seperti gambar di bawah:


Mengikut pemilik link, sistem tabungan ini boleh diubahsuai mengikut kesesuaian penabung. Contohnya boleh menggunakan kadar kenaikan sebanyak 50 sen berbanding RM1, atau menukar kekerapan masuk ke tabung daripada mingguan kepada bulanan atau dua minggu sekali.

Mengambil inspirasi daripada konsep tabungan ini, saya ubah-suai sedikit untuk diaplikasikan. Saya tetapkan jumlah mingguan yang banyak pada minggu gaji diterima, dan jumlah mingguan yang sedikit pada minggu sebelum minggu gaji. Almaklumlah minggu sebelum gaji keluar selalunya kita agak terkais-kais juga kan.
Maka inilah hasilnya (klik pada jadual di bawah untuk melihat dengan lebih besar):


Saya rasa lebih selesa menabung pada kadar berlainan begini berbanding kala menaik yang pemilik link cadangkan. Pada saya cara ini lebih menyeronokkan.

Bagaimana dengan anda? Berani sahut cabaran ini? Apa style yang akan anda gunakan?

Kredit: http://lifeasyouliveit.blogspot.com/2013/12/52-week-money-savings-challenge.html 

Friday 1 January 2016

Salam 2016

2015 berlalu pergi dan pentas 2016 membuka tirainya..

Salam 2016 semua.

Apa perasaan anda memasuki 2016? Gembira? Saya sebenarnya sedikit gementar untuk mengharungi 2016. Kenapa? 2016 adalah tahun yang dijangkakan agak mencabar dari segi ekonomi. Pelbagai subsidi dihapuskan: minyak, minyak masak, elektrik, beras. Kadar tol beberapa konsesi dinaikkan, juga kenaikan kadar tambang perkhidmatan awam seperti ERL, LRT, monorail dan sebagainya. Saya berharap harga minyak akan turun dengan penghapusan subsidi kerana harga minyak di pasaran dunia sememangnya sangat rendah. (Berita terkini harga minyak bermula 1 Januari 2016, RON 95 turun 10 sen, sementara RON 97 turun 20 sen). Namun dengan pemansuhan pelbagai subsidi ini, dapat dijangkakan bahawa harga barangan akan naik dan menyebabkan kos sara hidup semakin tinggi.

Dalam kegawatan ekonomi ketika ini, sudah pasti ada syarikat yang menerima impak dan mahu mengurangkan kos mereka. Pada ketika ini, syarikat di mana saya bekerja juga sudah mula mengurangkan pekerja sedikit demi sedikit. Sudah tentu saya juga berasa gementar kerana saya adalah pekerja kontrak. Saya berharap bahawa kontrak saya akan disambung bila Ogos menjelma nanti. Selain dari itu, saya juga terkesan apabila syarikat memansuhkan salah satu elaun yang diberi. Ini antara cabaran getir yang perlu saya hadapi pada 2016. 

Oleh itu saya terpaksa menetapkan pelbagai matlamat untuk menghadapi tahun 2016 yang serba mencabar ini, antaranya:

1. Cabaran Menyimpan/Menabung Secara Sistematik

Antara cabaran/tabungan yang mahu diwujudkan: cabaran RM5, cabaran RM20, tabung syiling, tabung kecemasan, tabung percutian, tabung haji, dan tabung dapur impian. Saya bercadang membuka akaun-akaun berlainan untuk tujuan berlainan, contohnya tabung percutian di Bank Rakyat, tabung kecemasan di BSN, dan sebagainya, Perlu rasanya untuk menyimpan di bank berlainan supaya tidak mengeluarkan  wang tersebut untuk tujuan lain.

2. Cabaran Melebihkan Memasak di Rumah

Saya kerap makan/membeli makanan di luar berbanding memasak di rumah. Kebiasaan ini nampaknya saya perlu kurangkan di tahun 2016. Saya juga perlu mencabar diri untuk membawa bekal ke pejabat. 

Pengecualian: Jika mahu makan di luar mestilah tidak lebih dari 4 kali seminggu dengan jumlah tidak melebihi RM7 setiap kali makan. Jika peraturan ini dilanggar, saya terpaksa membayar kepada tabung denda sebanyak RM10 untuk setiap kali pelanggaran.

3. Cabaran Minum Air Masak Sendiri/Air Masak

Saya seorang yang kerap minum air manis. Lebih teruk lagi, saya suka membeli minuman botol seperti teh limau ais, teh pic ais, pepsi dan sebagainya. Bayangkan harga sebotol minuman ini adalah dalam anggaran RM2.50 sebotol. Jika membelinya 5 hari seminggu (hari pejabat) jumlahnya adalah RM12.50 seminggu. Sebulan sudah RM50!! 

Maka dengan ini saya mahu mencabar diri saya sendiri untuk tidak membeli minuman di luar dan hanya minum air yang dimasak sendiri. Keutamaan adalah minum air putih, atau air putih dengan hirisan lemon, atau jika mahu minuman manis adalah air bancuhan kordial atau teh sahaja. 

Pengecualian: Jika berada di luar, saya hanya boleh beli air masak/air mineral sahaja dan tidak boleh minum minuman manis. Jika gagal, saya perlu membayar RM3 kepada tabung denda untuk setiap kali pelanggaran.

4. Cabaran Jahit Sendiri


Pada 2015 saya telah memulakan langkah mengikuti kelas menjahit. Makanya selepas ini, seeloknya saya menjahit sendiri pakaian saya daripada membeli di luar. 

Pengecualian: Hanya boleh membeli pakaian jika harganya adalah di bawah RM30.

5. Merapatkan diri pada Ilahi

Tahun baru bermaksud usia juga meningkat, maka perlu merapatkan diri pada Ilahi. Cuba menunaikan solat qadha' setiap kali selepas solat 5 waktu, juga amalkan solat dhuha dan solat tahajud. Baca al-Quran secara konsisten setiap hari dan konsisten bersedekah kepada yang memerlukan.

Mudah-mudahan 2016 ini dapat diharung dengan jayanya. Semoga dipermudahkan urusan pada tahun 2016 dan tahun-tahun akan datang, dilapangkan kehidupan dan diluaskan rezeki. Ya Allah, jauhkan daku dan keluargaku dari sebarang penyakit, musibah, mahupun fitnah. Amin!