Sunday 10 May 2015

Oh Oreo Cheesecake

Salam semua. Buat apa hujung minggu ini? Sempena cuti hujung minggu semalam terasa mahu membuat Non-baked Oreo Cheesecake. Maka saya pun bergegas ke Giant untuk membeli bahan. Inilah hasilnya setelah siap.

Percubaan kali pertama ini saya kategorikan sebagai 'bolehlah'. Biasalah kali pertama mencuba pasti ada kekurangannya:

  • Basenya agak nipis. Saya perlu tambahkan penggunaan biskut oreo. Untuk kek di atas, saya menggunakan 1 1/2 paket biskut oreo. Mungkin di lain kali perlu tambah menjadi 2 paket. 
  • Cheesecake menjadi lembik (ala-ala mencair) apabila diletakkan lama di luar peti ais lebih dari 30 minit. Mungkin kerana saya menggunakan resepi tanpa gelatin, maka hasilnya sedikit lembik. Tekstur cheesecake saya lembut seakan-akan aiskrim.
Pada minggu lepas saya ada juga membuat Oreo Cheesecake - Baked Version. Bila dibandingkan antara Non-Baked dengan Baked Oreo Cheesecake, saya lebih gemarkan rasa dan tekstur Baked Oreo Cheesecake. 

Abaikanlah rupa Baked Oreo Cheesecake saya ni ya, tak cantik tetapi sedap hihihi.. 
Masuk bakul angkat sendiri pula!

Saya yakin penggemar cheese memang akan gemarkan Non-Baked Oreo Cheesecake. Saya cuma boleh makan sedikit sahaja, sebab saya rasa ia sedikit muak berbanding Baked Oreo Cheesecake. Tapi itu penilaian saya. Anda bagaimana? Sudah mencuba keduanya? Yang mana satu pilihan anda?

Oreo cheesecake ini sedap dimakan apabila sejuk. Resepinya mudah dan ringkas. Saya yang memang tidak pandai memasak pun boleh membuatnya. Cuma tak berseni sikitlah haha.. Resepi kredit kepada Facebook Page: Dari Dapur Seorang Amatur. Resepi yang saya letak di bawah adalah resepi yang saya gunakan (saya telah ubah sedikit tidak mengikut resepi asal).

Baked Oreo Cheesecake

500g creamcheese
½ cawan susu pekat (120g)
1 paket biskut oreo
4 sudu besar tepung gandum
4 biji telur
1 sudu teh esen vanila
½ sudu teh garam

Cara-cara:
1.       Satukan creamcheese dan susu pekat. Pukul hingga sebati.
2.       Pecahkan telur di dalam bekas lain. Masukkan esen vanila dan garam.
3.       Apabila creamcheese sudah sebati, masukkan telur satu persatu dan pukul hingga adunan bercampur dengan sempurna.
4.       Masukkan tepung dan kaup-balikkan adunan sehingga rata.
5.       Pecahkan biskut oreo dalam adunan.
6.       Tuang atas Loyang 8 inci yang dialas kertas minyak.
7.       Bakar suhu 160o C selama sejam.

Nota:
1.       Kalau ikut resepi asal, tepung kek yang digunakan, bukannya tepung gandum. Saya tak ada tepung kek, jadinya tukar kepada tepung gandum. Selain itu boleh tukar kepada tepung naik sendiri.
2.       Nak sedap lagi boleh tambah whipping cream setelah masukkan telur. Gunakan ¼ cawan whipping cream. Saya tak letak pun dah sedap hihi..

Non-Baked Oreo Cheesecake

2 paket biskut oreo – dihancurkan hingga halus
50g mentega - dicairkan
400g creamcheese
4 sudu besar gula
½ cawan susu pekat
1 sudu teh esen vanila

Bahagian A (Base):
1.       2/3 bahagian daripada biskut oreo dicampurkan dengan mentega. Setelah teksturnya menjadi seakan pasir basah (kasar dan lembap), masukkan ke dalam loyang 8 inci yang dialas dengan kertas minyak. Mampatkan.
2.       Sejukkan di bahagian freezer selama 20 minit.

Bahagian B:
1.       Pukul creamcheese dengan gula, susu dan esen vanila sehingga sebati.
2.       Masukkan baki oreo tadi ke dalam adunan.
3.       Letakkan adunan ini ke atas base dan masukkan kembali ke dalam freezer selama 5-6 jam.

Nota:
1.       Nak sedap lagi boleh tambah whipping cream sebelum masukkan baki oreo ke dalam Adunan B. Gunakan ¼ cawan whipping cream.
2.       Ada resepi yang menggunakan gelatin dalam adunan B (pastikan halal – gunakan jenama Halagel untuk mengelak keraguan). 1 sudu besar gelatin dilarutkan dalam 2 sudu besar air panas dan dimasukkan dalam adunan B.



No comments:

Post a Comment