Sunday 6 December 2015

Perginya Putera Kesayangan Rakyat

Salam buat pembaca sekalian.

Sudah lama tidak mengemaskini blog dek kesibukan kerja. Sudah berhabuk rupanya.

Dua hari lepas kami digemparkan dengan berita kemangkatan putera ke-empat Sultan Johor, YAM Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim Ismail. Sebagai bangsa Johor sudah tentulah saya berasa sedih akan pemergian Almarhum.

Saya tidak pernah bersua muka dengan Almarhum semasa hayatnya, namun umumnya bangsa Johor mengenali Almarhum sebagai seorang yang sangat mesra rakyat. Saya hanya sekadar mengenali Almarhum di media sosial, dan kadangkala tertawa membaca telatah gurau senda Almarhum bersama adik-beradiknya. Memang boleh dapat dilihat akan kemesraan Almarhum itu.

Perginya Almarhum Tunku Laksamana pada usia yang agak muda, 25 tahun sahaja hayatnya di dunia ini. Tapi bila ditoleh kembali banyak telah Almarhum lakukan dan capai dalam tempoh waktu yang pendek ini. Walaupun menderita kanser hati, Almarhum tetap tersenyum mesra kepada semua. Masih teringat lagi bagaimana Almarhum menyakat jururawat semasa dia berada di hospital. Semua itu kini hanya tinggal kenangan.

gambar dari Google Image

Takdir Allah siapa yang tahu. Allah lebih mengetahui segalanya. Pada saya inilah hikmah kekalahan JDT pada suku akhir liga Piala Malaysia. Andaikata JDT menang tempohari dan layak ke perlawanan separuh akhir malam tadi, serasa sedikit canggung untuk berlawan sedangkan siangnya masih berduka mengkebumikan Almarhum. Dengan pemergian Almarhum, Johor berkabung selama tiga hari.

Selamat pergi Tuan Putera.

Dari Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali.

Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga Almarhum di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..

Al-Fatihah.


No comments:

Post a Comment