Monday 6 April 2015

Salam Perkenalan

Salam perkenalan buat pengunjung blog sekalian. Terima kasih kerana sudi melayari blog saya ini.


Nama sebenar Norshida Ahmad, berasal dari Muar, Johor dan sekarang menetap di Nilai, Negeri Sembilan bersama suami tercinta. Berkelulusan Ijazah Pengurusan Teknologi Maklumat dari Multimedia Universiti pada tahun 2003.


Agak susah untuk mencari kerja semasa saya 'graduate'. Masih saya ingat perit getirnya ke hulu ke hilir mencari kerja hatta jawatan 'Sales Assistant' pun saya pinta. Akhirnya, setelah 6 bulan berlalu barulah saya mendapat kerja sebagai 'Human Resource Assistant' di sebuah kolej swasta di ibu kota. Walaupun tidak relevan dengan jurusan akademik saya di universiti, saya cabar diri saya untuk memulakan kerjaya baru dan dengan gaji yang agak rendah. Bohonglah jika tidak terasa iri dengan rakan-rakan yang selepas sahaja 'graduate' mampu menjawat jawatan Eksekutif dengan gaji yang setimpal dengan kelulusan akademik. Tetapi realitinya bukan semua mampu bermula sedemikian. Yang penting kita harus mencuba bila ada peluang di hadapan mata dan tidak memilih jika gaji yang ditawar tidak seperti yang kita dengar semasa di universiti.

Bermula dari bawah, saya telah berkecimpung dalam bidang Sumber Manusia ini selama 11 tahun lamanya. Jawatan tertinggi pernah dijawat adalah Penolong Pengurus. Telah berkhidmat di beberapa syarikat termasuk syarikat multinasional, syarikat persendirian usahawan Melayu, dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang masing-masing mempunyai gaya dan sistem pengurusan yang berbeza. 

Dalam blog ini saya akan kongsikan tips-tips kesihatan dan juga kembara saya. Dalam kebanyakan kembara, saya sangat sukakan Korea Selatan dan agak banyak tempat telah dilawati di sana. Pernah saya diperli rakan-rakan bahawa Korea ibarat kampung halaman kedua saya. Apa keunikannya? Tunggu saya kongsikan dalam blog ini nanti. Jika anda berminat untuk ke Korea dan perlukan bantuan saya untuk mereka itinerari atau menjadi 'tour guide' anda di sana, anda bolehlah menghubungi saya untuk konsultasi lanjut.

Selain itu saya juga baru mempelajari asas fotografi; silap-silap haribulan blog ni boleh jadi 'photo gallery' haha. Oh ya, saya baru sahaja berumahtangga, maka sudah semestinya minat saya pada masa ini tertumpu kepada panduan mudah memasak (saya memang tidak pandai memasak, bahkan encik suami lebih hebat di dapur berbanding saya) dan juga senihias atau senireka dapur dan ruang rumah yang lain.

Salam perkenalan dari saya. Semoga kita boleh bertukar-tukar idea melalui blog ini.

Dari 'keyboard' Norshida Ahmad.

No comments:

Post a Comment